HOKI
Roslan manfaatkan pengalaman sebaik mungkin
Penjaga gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Roslan Jamaluddin, berdepan tekanan hebat apabila menggalas reputasi sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara ketika
membantu pasukannya menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra menerusi kemenangan penentuan pukulan penalti 4-3 dalam aksi final semalam.
Selepas mengharungi permulaan yang memberangsangkan, KLHC menghadapi cabaran sengit berdepan Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi final.
Aksi 60 minit berkesudahan dengan keputusan seri 3-3 dan mengheret perlawanan hingga ke penentuan pukulan penalti di mana KLHC memusnahkan impian THT untuk mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan mereka 4-3.
Iklan
Roslan menyifatkan pengalamannya sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara berjaya membantu dirinya mencipta kemenangan buat KLHC.
"Kelebihan sebagai jurulatih, ia membantu untuk saya menerapkan perkara-perkara asas yang harus dilakukan dan ia telah berjaya diaplikasikan dalam perlawanan ini," katanya.
Sementara itu, kejayaan merampas kejuaraan buat kali pertama menyaksikan KLHC muncul pasukan ketiga selepas Sapura dan THT menjulang trofi itu.
"Ini merupakan kali pertama KLHC meraih kejuaraan ini. Kami berterima kasih kepada setiap individu yang membantu pasukan meraih kemenangan ini," kata kapten KLHC, Sukri Mutalib.
"Kami ketinggalan 2-0, dan tenang mendahului 3-2 tetapi malangnya mereka berjaya menyamakan kedudukan 3-3. Ia bakal menjadi momentum yang bagus untuk pasukan membangun dalam liga dan di peringkat kalah mati Piala TNB," kata pemain tengah KLHC, Harvinder Singh.
Pemain import THT, Gonzalo Peillat, pula mengulas: "Saya sudah melakukan percubaan tetapi tiada siapa merebut peluang di depan pintu gol.
"Saya fikir kami bermain dengan cukup baik dalam suku ketiga, namun perlu memperbaiki aksi dalam kejohanan berikutnya kerana saya tidak fikir dengan cara begini kami dapat menang ke atas KL.
"Saya ada keyakinan tinggi buat pasukan dan sudah pasti akan memperbaiki prestasi."
Must-Watch Video