Sebanyak tiga pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Ragbi Piala Premier Malaysia Timur dari 21 hingga 25 Februari ini.
Tiga pasukan berkenaan ialah Kelab Ragbi Eagles dari Sandakan, KK Sharks dari Kota Kinabalu serta Kelab Ragbi OSCA Warriors yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan.
Presiden Kesatuan Ragbi Sabah (SRU), Dr KH Tan, berkata kejohanan yang julung kali diadakan itu bakal berlangsung di Padak Sukma, Likas, Kota Kinabalu.
"Juara bagi kejohanan ini bakal bertemu dengan juara Liga Ragbi Malaysia (MRL) yang berlangsung di Semenanjung pada 15 April depan.
"Pasukan Eagles sepatutnya beraksi dalam Divisyen Premier MRL, namun oleh kerana beberapa faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan, mereka memutuskan untuk beraksi dalam kejohanan di Malaysia Timur," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.
Tan berkata setiap pasukan dibenar untuk mendaftarkan enam pemain import tetapi hanya lima yang boleh disenaraikan dalam setiap perlawanan dan hanya empat boleh beraksi di atas padang dalam satu masa.
"Kejohanan ini juga mendapat kerjasama Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) serta Kementerian Belia dan Sukan Sabah. Kami juga bakal mempertandingkan Piala Menteri Belia dan Sukan Sabah.
"Selain itu, kejohanan ini juga adalah platform bagi kami mengesan bakat pemain untuk diserapkan dalam skuad ragbi Sabah," katanya.