Skip to main content

Sukan SEA

Ragbi 7s: Skuad negara tekad kecewakan juara bertahan

18817ragby7smalaysia.jpg
"Awas Filipina, kami mahu balas dendam kekalahan dalam final dua tahun lalu," itu amaran hooker ragbi negara, Muhammad Ameer Nasrun, menjelang acara ragbi 7s Sukan SEA Ke-29 yang bermula esok.

"Saya masih terasa dengan kekalahan itu dan kali ini adalah misi untuk membalas dendam. Kami mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kami mampu memenangi pingat emas," tambahnya.

Dalam temasya di Singapura dua tahun lalu, Malaysia tewas 24-7 kepada lawannya itu di peringkat akhir.

Menurut Ameer, jika skuad negara mengimpikan emas buat pertama kali dalam sejarah Sukan SEA, ini merupakan detik terbaik buat mereka.

Sedia menumbangkan lawan satu persatu esok, Ameer menegaskan fokus mereka akan terlebih dahulu ke arah Kemboja dalam perlawanan pertama pada jam 10 pagi sebelum berdepan Filipina dan Singapura.

"Kami diperkuatkan dengan enam muka baru berbanding edisi di Singapura. Kami sudah berlatih bersama hampir setahun, oleh itu kami tahu corak permainan masing-masing.

"Jadi, kami tidak mempunyai masalah untuk perlawanan esok."

Sementara itu, jurulatih pasukan, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor, menegaskan jika skuad negara mahu memikirkan aksi dalam final pada Ahad ini, mereka perlu menang tiga perlawanan pertama.

"Kami wajib menang dalam ketiga-tiga perlawanan. Saya pesan kepada pemain bahawa macam mana sekalipun, kami perlu menang.

"Setiap perlawanan adalah penting dan kami tidak boleh mengambil ringan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video