Skip to main content

Sukan Lain

Podium: Isu kontrak selesai, Hakimi lebih bersemangat

hakimi29118.jpg
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, mengakui lebih bersemangat untuk merancang pelan tahun ini selepas isu kontrak Program Podium selesai minggu lalu.

Sebaik menandatangani perjanjian dengan program sukan termahal negara itu, Hakimi berkata dia lebih bersemangat untuk menyasarkan pingat dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Dia, yang baru pulang daripada Kejohanan Jemputan di Kazakhstan pada 20 Januari lalu, kini dalam perangkaan yang lebih serius, terutama untuk menghadapi kejohanan pra-Sukan Asia, bulan depan.

"Selepas menandatangani kontrak saya rasa lebih terjamin. Setelah tandatangan, saya juga boleh membuat perancangan lebih awal daripada aspek fizikal, mental dan psikologi," katanya.

Tegas Hakimi, dia melihat peluang cerah untuk menghadirkan pingat buat negara dalam Sukan Komanwel, April ini, mahupun Sukan Asia pada Ogos depan.

Jelasnya, dia menyasarkan catatan 17m untuk mengatasi lompatan yang dilakukan dalam Sukan SEA tahun lalu, iaitu 16.77m, yang merupakan rekod kebangsaan.

"Tidak mustahil bagi saya (untuk meraih pingat) sebab berdasarkan catatan saya, ia hampir sama dengan rekod mereka. Semuanya tidak mustahil.

"Kalau saya dapat buat catatan terbaik, peluang itu ada," katanya lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video