Skip to main content

Hoki

Piala TNB: THT selangkah ke pentas final

gambar-2.jpg
THT 3 TNB 1

Juara Piala Sumbangsih 2019, Terengganu Hockey Team (THT), membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala TNB 2019, sebentar tadi.


Dalam aksi di Stadium Tun Razak itu, THT dan TNB masing-masing menampilkan permainan pantas serta berhati-hati yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam suku pertama perlawanan.

THT berjaya memecah kebuntuan di penghujung suku kedua menerusi pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Faizal Saari, pada minit ke-28 untuk mendahului 1-0 sebelum Faizal sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-46 selepas menyempurnakan pukulan penalti.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun, menambah derita skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu apabila meledak gol ketiga THT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

TNB, bagaimanapun, berhasil mencetak satu gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-60, sekali gus membantu mengurangkan defisit gol menjelang aksi kedua Khamis ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, ketua jurulatih THT, I. Vikneswaran, gembira dengan kemenangan berkenaan dan memuji pemainnya kerana telah menunjukkan semangat juang serta persembahan yang hebat.  

Bagaimanapun, katanya, fokus sekarang adalah persediaan bagi perlawanan timbal balik kerana beliau sedar TNB akan berusaha habis-habisan bagi mencipta kemenangan untuk memburu tiket ke pentas akhir. 

“Sebenarnya TNB pasukan yang kuat, cuma hari ini kami memanfaatkan peluang. Mereka juga ada peluang dan itulah perbezaannya. Pujian harus diberikan kepada pemain saya, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan anda boleh lihat keazaman mereka untuk mencipta kemenangan.

“Kami akan teruskan perjuangan dan tidak akan terbuai dengan apa yang berlaku hari ini. Perlawanan timbal balik merupakan perlawanan baru. Kami perlu fokus seperti perlawanan baru. Kami harus berusaha sepenuh hati bagi mencipta kemenangan.

“Dalam hoki, kemenangan 3-1 bukan satu keselesaan, anda pernah lihat dalam banyak kejohanan  di mana pasukan yang kalah 4-0 boleh bangkit kembali dan dalam hal ini, kami perlu kuat dari segi mental dalam persediaan menghadapi aksi kedua nanti,” katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video