Skip to main content

Hoki

Piala TNB: THT muncul juara kali keempat berturut-turut

thtd688cb0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Piala TNB musim ini masih kekal menjadi milik Terengganu Hockey Team (THT).

Kejayaan itu hadir selepas THT menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 menerusi penentuan pukulan penalti selepas seri 4-4 dalam final di Stadium Tun Razak sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan THT berjaya meraih kejuaraan tersebut buat kali keempat berturut-turut selepas memenanginya pada 2014, 2015 dan 2016.

Dalam aksi itu, gol pertama KLHC dijaringkan Anton Poul Fritz Ebeling seawal minit kesembilan sebelum THT mengikat kedudukan 1-1 menerusi Jang Jong Hyun dua minit kemudian.

Pakar flik skuad negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, memastikan KLHC kembali mendahului dengan gol kedua melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

KLHC menamatkan aksi babak pertama dengan pendahuluan 3-1 selepas Ebeling meledak gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25.

THT kembali mendapat rentak sebenar sebaik suku ketiga bermula dan memperoleh gol kedua melalui Jong Hyun pada minit ke-35.

Tonggak import Korea Selatan itu ternyata menjadi aset penting buat THT apabila meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti bagi menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-49.

Mohd. Syamim Mohd. Yusof hampir muncul wira KLHC selepas menjaringkan gol keempat pada minit ke-53 sebelum Nicolas Enrique Della Torre meledak gol penyamaan buat THT tiga minit sebelum tamat perlawanan.

THT dinobatkan selaku juara Piala TNB musim ini selepas menang 5-4 ke atas KLHC dalam penentuan pukulan penalti.

Ketua jurulatih THT, Sarjit Singh, berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak-anak buahnya yang beraksi bermati-matian untuk mempertahankan piala berkenaan.

"Walaupun kami melepaskan tiga gol, pemain-pemain yakin mereka mampu mengalahkan KLHC. Akhirnya kami berjaya menyamakan kedudukan 4-4.

"Pemain-pemain percaya dengan kemampuan mereka. Mereka tidak rela melepaskan Piala TNB kepada KLHC.

"Jadi, mereka bermain sebaik mungkin dan inilah hasilnya. Saya berbangga dengan prestasi pemain-pemain saya," katanya.

Liga Premier
Juara: KLHC (RM100,000)
Naib juara: THT (RM60,000)
Tempat ketiga: (RM40,000)

Piala TNB
Juara: THT
Naib Juara: KLHC
Pemain Terbaik Perlawanan: Jang Jonghyun
Penjaring Terbanyak: Jang Jonghyun (28 gol)
Fair Play: SSTMI

 

Advertisement

Must Watch Video