Skip to main content

Hoki

Piala Negara-Negara: Aksi bertemu Pakistan jadi titik tolak The Speedy Tigers harungi kempen

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rafaizul-mohamad-saini-hoki.jpg
Penjaga gol muda skuad hoki lelaki negara, Mohammad Rafaizul Mohamad Saini, menganggap umpama mimpi jadi realiti apabila namanya tersenarai dalam skuad akhir The Speedy Tigers bagi Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025.

Sedar dirinya selaku pendatang baru, pemain kelahiran Bagan Serai, Perak, berusia 22 tahun itu memberi jaminan akan mempamerkan prestasi terbaik seandainya diberikan tanggungjawab mengawal benteng terakhir skuad negara.

Pemain yang pertama kali menyertai skuad senior kebangsaan itu berharap dia dan rakan sepasukan dapat memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, sekali gus merealisasikan sasaran yang ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik.

"Saya sangat positif kerana kami akan bermain di laman sendiri. 




"Sasaran ke separuh akhir tidak mustahil untuk diraih. Perlawanan pertama akan mencorakkan perjalanan kami dalam Piala Negara-Negara.

"Setiap pemain sentiasa mengimpikan kejayaan besar jadi saya berharap kami mampu menghasilkan persembahan yang baik dalam edisi ini," katanya di Nadi Arena hari ini. 

Untuk rekod, Rafaizul pernah dinobat selaku Penjaga Gol Terbaik Kejohanan Remaja Asia dalam edisi 2023 dan 2024.

 

Advertisement

Must Watch Video