Skip to main content

Sukan Lain

Piala EurAsia: Nicholas, Gavin dipisahkan

nicholas19118.jpg
Pemain golf negara yang bakal berentap bersama pasukan Asia, Nicholas Fung, lebih selesa jika tidak digandingkan dengan seorang lagi pemain Malaysia, Gavin Kyle Green, untuk berdepan Eropah dalam Piala EurAsia di Kelab Golf & Country Glenmarie, bermula Jumaat ini.

Nicholas menjadi antara pemain paling berpengalaman dalam skuad Asia selepas beraksi dalam dua edisi sebelum ini pada 2014 dan 2016.

Ketika ramai menjangkakan dia akan berpasangan dengan Gavin, Nicholas mendedahkan kapten Asia, Arjun Singh Atwal, sudah mempunyai strategi tersendiri.

Katanya, Arjun memilih untuk memisahkan dia dan Gavin dalam aksi format fourballs dan foursome itu dalam usaha mengembangkan sokongan peminat tuan rumah.

"Sudah tentu kami tidak berganding bersama kerana tidak mahu peminat tempatan hanya tertumpu kepada kami.

"Dia (Arjun) mahu kami dipisahkan, jadi ada penyokong bersama saya dan ada bersama Gavin. Saya rasa ia satu pilihan yang baik," katanya.

Di kem Eropah pula, Ross Daniel Fisher dari England yang menjadi antara pemain tumpuan pada edisi kali ini bertekad mahu mengulangi skor 2 1/2 dari 3 mata yang ditawarkan pada edisi 2016.

"Kami mempunyai tempoh yang baik di sini dua tahun lalu. Kami kembali ke sini dengan perlawanan fourballs dan foursome. Kami tidak sabar untuk memulakan kejohanan ini," kata Fisher.
 

Advertisement

Must Watch Video