Skip to main content

Sukan Lain

Piala EurAsia: Jangan pandang rendah peluang Asia

gavin4118.jpg
Pemain terbaik Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green, mengimpikan permulaan sempurna dalam penampilan sulungnya bersama pasukan Asia dalam Piala EurAsia di Kelab Golf & Country Glenmarie, Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Januari ini.

Gavin cukup teruja selepas disenaraikan dalam kalangan 13 pemain Asia untuk menentang pasukan Eropah dalam edisi ketiga kejohanan itu.

Dia sedar pasti diberi tumpuan kerana bukan sahaja bermain di laman sendiri tetapi baru menggondol gelaran Order of Merit Jelajah Asia.

"Bagi saya, ia tidaklah akan teruk, ini adalah tahun baru bagi saya. Semuanya bermula dari kosong semula. Ia seolah-olah permulaan seperti tahun lalu.

"Diharapkan kami dapat memberikan persembahan yang baik. Ia acara yang menyeronokkan, bukan kepada saya sahaja tetapi kepada semua pemain yang berpeluang untuk beraksi. Ia bagus untuk Malaysia juga kerana menganjurkan acara besar seperti ini," ujarnya.

Dalam penganjuran kali terakhir pada 2016, Asia mudah ditundukkan Eropah dengan kiraan 5 1/2 berbalas 18 1/2.

Ditambah Eropah dibarisi ramai pemain berpengalaman seperti Tommy Fleetwood dan Ross Fisher dari England, lawan itu pasti menjadi pilihan utama bagi mempertahankan gelaran. 

Namun, Gavin tidak mahu ramai pihak memandang terlalu tinggi kekuatan mereka kerana peluang buat Asia melakar kejutan tetap ada.

"Saya tidak tahu tetapi saya berharap Asia boleh menang. Seperti yang saya katakan, sangat penting kita sebagai tuan rumah menjadi kuat. Kami akan melakukannya," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video