Skip to main content

Sukan Lain

Piala EurAsia: Hanya tumpu aksi individu, kata Gavin

gavin11718.jpg
Pemain nombor satu Asia, Gavin Kyle Green, tidak menjadikan bahasa sebagai satu masalah untuk membentuk gandingan mantap bersama pemain Jepun, Yuta Ikeda, yang kurang fasih berbahasa Inggeris dalam Piala EurAsia di Kelab Golf & Country Glenmarie, bermula esok.

Dengan menggunakan format fourball, Gavin akan digandingkan dengan jaguh Jepun itu yang telah memenangi 19 kejuaran Jelajah Jepun dan turut bersaing dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Meskipun Ikeda memerlukan penterjemah, namun ia bukanlah masalah besar untuk Gavin membentuk keserasian dengannya.

Gavin dan Ikeda bakal menentang gandingan Eropah, Thomas Pieters dan Matthew Thomas Fitzpatrick.

"Jika individu lakukan dengan baik, sudah tentu pasukan juga melakukan dengan baik. Saya rasa kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri dan melakukan dengan sebaik mungkin," kata Gavin.

"Kami pernah berjumpa dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Kami juga berlatih beberapa kali dalam minggu ini dan saya rasa kami mempunyai keserasian yang baik," kata Ikeda.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Nicholas Fung, akan bergandingan dengan pemain China, Li Haotong, yang juga juara tiga kali Jelajah PGA China.

Mereka akan menentang gandingan Eropah, Bernd Wiesberger dan Rafael Cabrera-Bello.

"Kalau dua pemain Malaysia dalam satu pasukan, sudah tentu ia memberikan tekanan tinggi kerana semua peminat tempatan akan mengikuti kami.

"Jika kami dipisahkan, ia lebih menarik dan untuk meningkatkan tekanan kepada Eropah. Ia bagus," kata Nicholas.

Advertisement

Must Watch Video