Skip to main content

Sukan Lain

Piala EurAsia: Eropah pertahan kejuaraan

eropah14118.jpg
Pasukan Eropah mempertahankan kejuaraan Piala EurAsia apabila tampil lebih dominan dalam acara perseorangan dengan mengakhiri saingan keseluruhan 14-10 pada hari terakhir di Kelab Golf & Country Glenmarie, hari ini.

Kapten Eropah, Thomas Bjorn, lega dengan penguasaan mutlak pasukannya pada hari ketiga dengan mengumpul sejumlah 8.5 mata berbalas 3.5 mata bagi melenyapkan kelebihan pasukan Asia dalam dua format perlawanan terdahulu.

"Kami melakukan tugas yang baik dengan barisan pemain kami hari ini. Persembahan kami sangat cemerlang," kata Bjorn.

Dalam perlawanan hari ini, wakil Malaysia, Nicholas Fung, membenarkan kemenangan mudah buat Alexander Noren apabila hanya bermain sehingga lubang ke-16, sebelum memberikan kemenangan mutlak kepada Eropah 4-2.

Rakan senagara yang juga juara Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green, turut gagal membantu pasukan Asia apabila tewas 4-3, ketinggalan 4 up selepas 15 lubang menentang jaguh Eropah, Rafael Cabrera-Bello.

"Saya mungkin melakukan yang terbaik. Tetapi seperti saya katakan, Eropah adalah pasukan yang kuat dan mereka menamatkan saigan dengan baik. Tidak banyak yang kami boleh lakukan," kata Gavin.

Thomas Pieters dan Tyrell Hatton mengesahkan kejuaraan, dengan Eropah membawa pulang hadiah wang tunai USD3.6 juta dan piala yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Advertisement

Must Watch Video