Skip to main content

Sukan Lain

Piala Dunia: PABM tidak hantar Aznil ke China

aznil-bidin.jpg
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mengesahkan badang negara, Aznil Bidin, tidak akan dihantar menyertai Piala Dunia di Fuzhou, China kerana mempunyai masalah dengan pegawai persatuan itu.

PABM sekali lagi berdepan masalah dengan badang negara.

Kali ini, Aznil didakwa tidak menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menyertai Piala Dunia yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu didakwa tidak bersedia untuk mengibarkan cabaran negara dalam kategori 61kg, sekali gus terpaksa menarik diri.

"Kami mendapati bahawa Wafie menghadapi masalah kekurangan latihan.

"Aznil pula tidak dapat dihantar kerana dia tidak mendapat keizinan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana tidak menghantar status lokasi terkininya," katanya.

Bulan lalu, PABM menggugurkan seorang lagi juara Sukan Komanwel, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, ekoran masalah sama.

Ia bermakna Malaysia sudah terlepas dua peluang untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo apabila turut menarik diri daripada Kejohanan Antarabangsa Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT), bulan lalu.

"Majlis Sukan Negara (MSN) mengarahkan saya untuk mengisi status lokasi terkini.

"Saya sudah melakukannya, namun mungkin sudah terlewat.

"Kerana kelewatan itu, Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan saya untuk  menyertai sebarang kejohanan," kata Aznil.

Advertisement

Must Watch Video