Skip to main content

Hoki

Piala Alagendra: THT dahului empat pasukan ke separuh akhir

alengra4118.jpg
Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) dan TNB Thunderbolt mengesahkan tempat separuh akhir selepas cemerlang mengetepikan lawan masing-masing dalam Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

THT terlebih dahulu melangkah selepas melakar kemenangan besar ke atas UITM-KPT 9-0 dan di sebalik peminat hoki sibuk memperkatakan tentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik yang menjadi import terbaru THT, Gonzalo Peillat, Faizal Saari lebih mencuri tumpuan dengan meledak lima gol berpunca daripada gerakan padang pada minit ke-24, 34, 55 serta pukulan sudut penalti pada minit ke-49 dan 53. 

Import sensasi Argentina, Peillat, turut tidak melepaskan peluang mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-45 dan 60, sementara dua lagi gol masing-masing disumbangkan oleh seorang lagi import Argentina, Lopez Barreiros, dan Muhammad Sufi Ismat.

Penjaring terbanyak bagi Terengganu, Faizal, yang ditemui selepas tamat perlawanan nyata tidak menyangka akan meledak lima gol kerana baginya dia hanya mahu menggunakan peluang yang dimiliki sebaik mungkin dan berkongsi perasaan terujanya kerana dapat beraksi bersama Peillat.

“Saya tidak menyangka dapat meledak lima gol hari ini kerana saya hanya menggunakan peluang yang ada. Saya rasa ini satu permulaan yang bagus untuk perlawanan pertama kami dalam kejohanan ini.

“Semua mengenali Peillat sebagai penjaring terbanyak Olimpik dan juga pemain terbaik dunia. Jadi, banyak yang saya dapat belajar daripada dia untuk perlawanan hari ini. Saya teruja kerana bermain bersamanya dan tidak semua memperoleh peluang bermain dengan pemain terbaik dunia,” jelasnya.

THT akan membuat perhitungan dengan TNB Thunderbolt yang melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 5-3 ke atas Kelab Hoki Pulau Pinang.

KLHC turut melangkah ke separuh akhir selepas mengetepikan cabaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila menamatkan perlawanan 2-1 hasil jaringan pemain import Korea Selatan,  Jang Jonghyun, menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga dan Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-38. 

TNB berjaya untuk mencuri satu gol menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang meledak pukulan sudut penalti pada minit ke-49, namun ia tidak cukup untuk menyekat KLHC.

Dalam pada itu, UniKL melangkah ke separuh akhir selepas mengecewakan MBPJ Tigers 6-0, bermula dengan dua jaringan padang Muhamad Hafiz Zainol pada minit kesembilan dan 18, diikuti dua jaringan padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-23 dan 48.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang satu jaringan sudut penalti pada minit ke-54 dan Faridzul Afiq Mohd memuktamadkan kemenangan UniKL menerusi jaringan padang seminit sebelum tamat perlawanan.

Dalam separuh akhir Sabtu ini, UnikL akan bertemu KLHC pada jam 6 petang sementara TNB Thunderbolt menentang THT pada jam 8 malam.

Advertisement

Must Watch Video