Skip to main content

Sukan Lain

Petanque negara mahu hantar wakil ke Olimpik 2024

noor25119.jpg
Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) merangka satu program khusus untuk memastikan kontinjen negara mempunyai wakil dalam Sukan Olimpik, dengan sukan itu mempunyai peluang cerah untuk dipertandingkan pada edisi 2024 di Paris.

Tiada tugasan besar buat skuad petanque negara tahun ini kerana sukan itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast mahupun Sukan Asia Indonesia, dengan hanya Kejohanan Dunia di Kanada menjadi tumpuan.

Selain merangka program latihan sepanjang tahun ini, PPM juga mahu memperkasakan bahagian pelapisnya dengan sasaran awal untuk mempunyai wakil dalam Sukan Olimpik 2024.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja sukan berkenaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini di samping persediaan awal untuk menghadapi Sukan SEA di Filipina tahun depan.

PPM diwakili Presidennya, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim, manakala Jefri Ngadirin yang merupakan Pemangku Pengarah Bahagian Persiapan Atlet mewakili MSN.

"Kami akan mengadakan program remaja dalam kalangan pemain berusia 15, 16 tahun, bukan sahaja untuk menghadapi Sukan Olimpik di Paris tetapi juga untuk Sukan Asia Hangzhou 2022," kata Mohamad Noor.

Dalam pada itu, PPM juga tidak terburu-buru dalam memuktamadkan seorang lagi jurulatih skuad kebangsaan, khususnya bagi saingan wanita dan juga pelapis.

Ketika ini, skuad negara dikendalikan Zani Lisa Mohamed dan Syed Ali Syed Akil selain PPM pernah mengambil kepakaran luar negara apabila membawa masuk seorang jurulatih Perancis selama 10 hari sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kami memerlukan jurulatih wanita dan saya akan kemukakan nanti tetapi jurulatih perempuan ini tidak ramai," kata Mohamad Noor lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video