Skip to main content

Sukan Lain

Pasukan Rossi Catat Kemenangan Sulung

image-1.jpeg
Pasukan Rossi, yang berada di dasar saingan T2 Liga Ping Pong Asia Pasifik (T2APAC), akhirnya menemui kemenangan pertama.

Turun dalam pusingan ketiga T2APAC di Studio Pinewood, pasukan Rossi bermula dengan langkah kanan apabila menang 15-14 mengatasi pasukan Persson.

Pasukan Persson terlebih dahulu bermula garang dalam set pertama. Mereka yang diwakili oleh pemain wanitanya, Wang Manyu, menang 4-1 (9-11. 11-5, 11-9, 11-4, 5-3) ke atas wakil pasukan Rossi, Georgina Pota.

Apapun, pasukan Rossi tidak mudah mengalah. Mereka bangkit untuk menyamakan kedudukan dalam set kedua. Pemain lelaki pasukan itu, Dima Ovtcharov, menang 4-1 (11-6, 11-6, 11-7, 7-11, 5-3) menewaskan wakil Persson, Joo Saehyuk, untuk kedudukan keseluruhan terikat 5-5.

Pasukan Rossi terus cemerlang dalam set ketiga apabila pemainnya, Cheng I-Ching, terus mengutip mata menerusi kemenangan 3-1 (9-11, 11-10, 11-2, 9-8) mengatasi lawannya, Suthasini Sawettabut.

Dalam set keempat, giliran Paul Drinkhall pula menambah mata kemenangan pasukan Rossi menjadi 11-8. Dia mengatasi wakil pasukan Persson, Jun Mizutani, 3-2 (11-8, 3-11, 10-11, 11-8, 4-3).

Selepas itu, Elizabeta Samara yang mewakili pasukan Rossi juga cemerlang untuk mengutip mata penting buat pasukannya. Dia menewaskan Bernadette Szocs 3-2 (6-11, 11-6, 11-10, 11-9, 6-7), sekaligus membolehkan pasukan Rossi mendahului 14-10 keseluruhan.

Biarpun pasukan Persson cuba bangkit dalam set terakhir menerusi pemain gantian, Jun Mizutani, yang menewaskan Dima Ovtcharov (juga pemain gantian) 4-1 (11-9, 5-11, 11-7, 11-7, 4-3) namun mereka gagal mengejar kedudukan keseluruhan.

Ketua pasukan Rossi, Jorg Rosskopf, menganggap kerja keras daripada anak buahnya adalah kunci pasukan itu akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama.

“Saya gembira kerana akhirnya kami menang menentang pasukan yang kuat dalam pertarungan sengit tadi. Saya rasa kami kami lebih bernasib baik dan sepatutnya boleh menang dalam set-set terakhir juga kerana mendahului lawan terlebih dahulu.

“Tidak ada perubahan yang dilakukan pada pasukan, cuma bagi saya pemain terus memberikan tentangan sengit dan tadi kami akhirnya berjaya mengutip 15 mata kemenangan,” ujarnya selepas perlawanan.

Advertisement

Must Watch Video