Skip to main content

Sukan Lain

Olahraga, wushu, renang tersenarai dalam Program Podium

23217podium.jpg
Olahraga, wushu dan renang menjadi tiga sukan baru yang diserapkan dalam Program Podium sementara tiga sukan lain, iaitu menembak, berbasikal para dan pelayaran para, digugurkan.

Pencapaian positif dan memenuhi kriteria daripada atlet Kita Juara membawa kepada pemilihan ke program elit itu.

Tetapi, tiada wakil daripada sukan menembak berikutan kegagalan Nur Suryani Mohd Taibi, Mohd Ezuan Nasir Khan, Muslifah Zulkifli, Johnathan Wong dan Nur Ayuni Farhana menempatkan diri dalam kelompok ranking terbaik senior seperti yang ditetapkan.

Atiq Bazil Bakri daripada sukan memanah turut tersenarai sebagai atlet yang digugurkan daripada Program Podium.

"Daripada 180 pencalonan, 170 daripadanya diterima dan saya hanya mahu menjelaskan sesuatu bahawa dua daripada atlet menembak ketika ini tidak berada dalam program, antaranya Johnathan (Wong) yang layak ke Sukan Olimpik Rio lalu.

"Ia disebabkan faktor kedudukan ranking dunia," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Bagaimanapun, nama-nama atlet yang digugurkan akan kembali semula ke program elit itu andai berjaya kembali ke prestasi terbaik.

Dalam pada itu, jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, turut gagal berada dalam program itu selepas ranking anak jati Melaka berkenaan masih jauh di belakang di peringkat antarabangsa.

"Prestasi terbaik daripadanya (Hafiz) adalah di SUKMA. Berdasarkan ranking catatan terbaiknya, dia berada di tempat ke-122 dunia.

"Kami akan terus menjadikan ranking senior sebagai panduan untuk meraih pingat (Olimpik). Walaupun kedudukannya agak jauh, dia masih mempunyai masa depan yang cerah," tambahnya.

Seramai 33 atlet daripada 14 jenis sukan berada dalam Program Podium.

Program elit itu diwujudkan dalam usaha Malaysia untuk memburu pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Advertisement

Must Watch Video