Skip to main content

Sukan SEA

Olahraga: Nauraj tepati ramalan emas

nauraj-singh.jpg
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, menepati ramalan apabila mengungguli acara lompat tinggi lelaki sekaligus menghadiahkan pingat emas, dengan seorang lagi wakil negara, Lee Hup Wei, meraih perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Nauraj turun dengan status selaku Olimpian dan pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan dengan catatan 2.30 meter yang dilakarnya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, April lalu.

Aksinya ternyata tidak mengecewakan apabila melakar catatan terbaik dengan melepasi 2.24m dalam percubaan pertamanya manakala Hup Wei kedua dengan catatan sama -- namun dipisahkan dengan pengiraan semula jumlah percubaan.



Atlet Vietnam, Nguyen Thanh Nhan, membawa pulang gangsa selepas melakukan catatan 2.18m.

"Saya dan Hup Wei telah berlatih selama lapan bulan, ia merupakan satu persaingan yang sihat kerana kami saling berusaha dan anda semua dapat dilihat pada Sukan SEA kali ini. Kami berdua telah melakukan catatan yang sama," kata Nauraj.

Sementara itu, Hup Wei menegaskan dia akan terus berjuang dalam sukan lompat tinggi sebagai persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

"Saya akan terus berlatih bersama Nauraj sehingga tahun hadapan, saya berjanji untuk memberikan prestasi yang terbaik di Sukan Asia dan Komanwel," kata Hup Wei.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video