SUKAN LAIN
Olahraga MSSM: Danish Iftikhar, Nur Izzati Eliana cipta kejutan reben biru B-18
Danish Iftikhar Muhammad Roslee daripada kontinjen Johor yang baru berusia 16 tahun mencuri perhatian dengan menenggelamkan reputasi Pengiran Abdul Rauf yang dicanang untuk mengekalkan dominasinya di trek Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.
Biarpun beraksi dalam kategori utama B-18 Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), pelajar tingkatan empat itu menggunakan kelebihan ketinggiannya untuk menggenggam mahkota raja pecut MSSM pada hari pertama kejohanan.
Danish Iftikhar yang merupakan anak kepada bekas pelari negara itu merekodkan catatan masa 10.85 saat.
Iklan
Acara reben biru saingan wanita pula memperlihatkan sentuhan ketua jurulatih olahraga, Poad Kassim, suatu ketika dahulu menjadi detik kebangkitan prestasi Nur Izzati Eliana Suhaidi.
Biarpun tidak diberikan perhatian untuk melakar kejayaan di pentas final memandangkan pelari pilihan utama dari Sarawak, Ormilla Octavia, merekodkan catatan terbaik musim ini.
Namun, berbekalkan semangat jitu dan teknik larian yang baru. Nur Izzati mengetepikan Ormilla menerusi keputusan 'photo finish', sekali gus dinobat ratu pecut mssm.
Kejayaan ini bagaikan kelahiran semula buat atlet yang hampir gantung kasutnya ketika tingkatan dua sebelum dibimbing Poad Kassim serta guru-gurunya.
"Saya berterima kasih kepada jurulatih, Poad, walaupun sebelum ini saya bukanlah sesiapa.
"Walaupun beliau sudah berpindah tempat kerja tapi segala tunjuk ajarnya seperti menggunakan pemberat untuk berlari.
"Saya bangga dengan catatan ini selepas penat berlatih," katanya.
Must-Watch Video