Yeap Sean Yee meraih pingat pertama acara lompat tinggi wanita buat negara selepas 28 tahun apabila merakamkan pingat gangsa dengan rekod kebangsaan dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Ini kali kedua rekod itu dipecahkan sendiri oleh Sean Yee tahun ini apabila melakukan lompatan setinggi 1.83 meter untuk memperbaiki rekod terdahulu miliknya, 1.81m.
Emas diberikan kepada peserta Vietnam, Duong Thi Viet Anh, manakala perak milik Michelle Sng Suat Li (Singapura) berdasarkan kiraan semula biarpun ketiga-tiga peserta terbaik menamatkan saingan dengan ketinggian sama.
Dalam acara lompat jauh, Abdul Latif Romly meraih pengalaman pertamanya dalam Sukan SEA di tempat ketujuh keseluruhan, selepas melakukan lompatan sejauh 7.34m, disusuli rakan sepasukan, Luqman Hakim Ramlan (7.12m), di tempat kelapan.
Dalam perkembangan lain, atlet dari Sabah, Fathin Faqihah Mohd Yusuf, menamatkan perlumbaan final 400m wanita di tempat kelima (56.72s) dan rakan senegara, Faizah Asma Mazlan, keenam (57.10s).
Atlet Filipina, Trenten Anthony Beram, mengulangi kehebatannya dalam acara 200m semalam apabila menjuarai acara 400m dengan catatan masa 46.39s sementara perak milik P Sunthonthuam (Thailand) dan Quach Cong Lich (Vietnam), gangsa.
Wakil negara, Azam Masri dan Arif Zulhilmi Alet masing-masing di kedudukan keenam dan ketujuh.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Stadium Astro
Thu Aug 24 2017