KL2017
Olahraga: Kuartet lelaki, wanita alami nasib berbeza
Kuartet 4x400 meter lelaki negara kempunan pingat selepas menamatkan acara itu di tempat keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kuartet yang dibarisi Muhammad Azam Masri, Mohamad Arif Zulhilmi Alet, Mohd Fairol Nazim dan Badrul Hisyam Abdul Manap memulakan saingan dengan baik apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua selepas dua pelari.
Bagaimanapun, ketika pelari kedua, Arif Zulhilmi menyerahkan baton kepada pelari ketiga, Fairol, skuad negara mula dipintas atlet Filipina dan Vietnam.
Iklan
Tatkala baton diserahkan ke pelari terakhir, Badrul Hisyam, dia tidak mampu mengejar kedudukan pingat, sekaligus terpaksa akur dengan kedudukan keempat dengan catatan masa 3 minit 09.03 saat.
Thailand merangkul emas dengan 3m 07.25s sementara Vietnam perak dengan catatan 3m 07.40s.
Berita positif hadir daripada kem wanita apabila gandingan Shreen Samson Vallabuoy, Nurul Faizah Asma Mazlan, Fathin Faqihah Mohd Yusuf dan Tanalaksiumy Mahenthiran berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 3m 43.31s untuk mengutip gangsa.
Pingat emas menjadi milik kuartet Vietnam (3m 33.40s) sementara Thailand perak dengan catatan masa 3m 38.95s.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Luth Hamizan terpaksa akur dengan kedudukan keempat dalam acara 3,000m lari berhalangan selepas melakar catatan 9m 09.12s.
Pingat emas menjadi milik atlet Indonesia, Atjong Tio Purwanto (9m 03.94s) manakala Pham Tien San dari Vietnam meraih perak (9m 06.31s). Pingat gangsa turut dimenangi atlet Vietnam, Do Quoc Luat dengan catatan masa 9m 08.72s.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Must-Watch Video