KL2017
Olahraga: Jackie pecah rekod Sukan SEA
Atlet baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer, melakar sejarah baru apabila memecah rekod Sukan SEA dan kebangsaan, sekaligus meraih pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Jackie melakar catatan 65.90 meter dalam percubaan keempat selepas mempamerkan balingan konsisten daripada percubaan pertama.
Atlet berusia 25 tahun itu berjaya memecahkan rekod milik Caleb John Stuart (Filipina), 65.63m yang dilakarnya di Singapura, dua tahun lalu.
Iklan
Pingat perak menjadi milik atlet Thailand, Kittipong Boonmawan, dengan catatan 65.49m sementara Ferrera Arniel dari Filipina membawa pulang gangsa dengan catatan 55.94m.
Jackie mengakui meskipun telah mengutip pingat gangsa dalam tiga edisi Sukan SEA sebelum ini, dia tidak berputus asa dalam mencapai impiannya meraih emas.
"Saya telah memenangi pingat gangsa dalam tiga edisi Sukan SEA sebelum ini, jadi saya masih terus berusaha untuk mencapai kejayaan hari ini. Akhirnya, saya berjaya meraih emas dalam acara ini, sekaligus memperbaharui rekod kejohanan," kata Jackie.
Jackie turut yakin rakan seperjuangan lain mampu menambah pungutan pingat.
"Saya yakin dengan kebolehan rakan sepasukan saya dan mampu menambah lagi bilangan emas untuk negara, diharap kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada atlet Malaysia yang lain untuk mencipta kejayaan," tambahnya.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Must-Watch Video