Skip to main content

Sukan Lain

Nyuk Fah temui pengganti Dugro

nyukfah30118.jpg
Ketua jurulatih skuad ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah, melahirkan keyakinan terhadap dua tonggak dari Fiji bagi mengisi kekosongan posisi lock yang kebiasaannya menjadi milik pemain profesional, K. Dineshwaran.

Kecederaan tangan kanan yang dialami Dineshwaran atau lebih dikenali Dugro pada hujung bulan lalu memaksa dia berehat hampir enam bulan.

Lantas Nyuk Fah perlu meneliti siapa pemain yang dapat menggantikan tempat Dugro, dengan taruhan terbaik kepada tonggak Fiji, Samuela Tamanisau dan Timoci Vunimoku.

Katanya, pemain tempatan yang berpotensi untuk beraksi di bahagian itu adalah Nathaniel Lee dan Mohamad Amin Jamaluddin.

"Sekarang ini, memang kami ada pemain-pemain yang dapat digunakan untuk mengganti tempat Dugro.

"Mereka juga ada daripada Fiji. Jadi, selepas ini, kami akan mengatur semula posisi," katanya.
 
Dalam pada itu, jurulatih itu menjelaskan berlaku sedikit rombakan terhadap jadual aksi persahabatan membabitkan pasukan negara.

Sebelum ini, mereka dijadualkan berdepan sebuah kelab tempatan di samping menentang skuad kebangsaan Singapura pada bulan depan.

Namun, saingan liga di Singapura yang sedang berlangsung ketika itu menyaksikan pertemuan tersebut terpaksa diadakan awal April, iaitu sekembalinya skuad negara daripada kem latihan di Auckland, New Zealand.

"Dalam masa ini liga sedang berlangung di Singapura. Jadi, pemain-pemain mereka tidak dapat diturunkan dalam perlawanan yang diaturkan.

"Kejohanan mereka itu akan tamat pada Mac nanti. Jadi, ia lebih sesuai ia diadakan pada minggu pertama April ini,"katanya Nyuk Fah lagi.

Advertisement

Must Watch Video