Skip to main content

Sukan Lain

Nauraj tak sabar berlatih bersama Hup Wei di Australia

nauraj-hup-wei-260817.jpeg
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh, tidak sabar untuk menerima kehadiran rakan sepasukan, Lee Hup Wei, di kem latihan di Sydney, Australia, bulan depan bagi persediaan ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Hup Wei bakal berlepas bulan depan untuk menjalani latihan bersama Nauraj di Sydney Olympic Park.

Nauraj mengakui teruja mempunyai rakan sepelatih dari Malaysia yang menyertainya di sana memandangkan sebelum ini dia hanya berlatih dengan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Remaja 2010, Brandon Starc.

Hup Wei akan turut sama berlatih di bawah kendalian jurulatih Nauraj, Alex Stewart.

"Saya sangat gembira jika Hup Wei dapat berlatih bersama di Australia. Dia seorang atlet berkualiti dan bersaing bersamanya dalam sesi latihan dan dalam kejohanan mampu meningkatkan prestasi kami," kata Nauraj.

Bagi Hup Wei, dia tidak kisah mengeluarkan belanjanya sendiri untuk berlatih di Sydney kerana ia mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel.

Hup Wei kini memiliki catatan peribadi terbaik 2.24 meter yang dilakarnya ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, untuk meraih perak di belakang Nauraj.

"Perbezaan berlatih di luar negara, kami didedahkan kepada latihan yang lebih terperinci dan jurulatih dapat memberikan pengetahuan yang lebih baik ketika melakukan lompatan," kata Hup Wei.

Advertisement

Must Watch Video