Skip to main content

Tenis

Nadal mahu beraksi dalam Piala Davis, Olimpik Tokyo

nadal.jpg
Rafael Nadal mengesahkan dia mungkin beraksi dalam Piala Davis tahun ini ketika dia turut memburu tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain Sepanyol dengan 17 gelaran grand slam itu turun beraksi dalam satu perlawanan Piala Davis tahun lalu -- ketika menentang Jerman pada April lalu.

Namun, kejohanan itu telah diubah kepada format lebih pendek yang mengundang beberapa kritikan dengan pusingan akhir akan dijalankan selama seminggu di Madrid pada November depan.

Nadal, yang memulakan tahun ini dengan kejayaan ke final Terbuka Australia, berkata dia mahu membantu negaranya sebagai tuan rumah selepas format baru itu tidak mendapat perhatian daripada pemain-pemain ternama yang lain.

"Saya mahu menyertainya, namun ia masih terlalu lama untuk dinantikan, kira-kira sembilan bulan dari sekarang.

"Amat sukar untuk menjangkakan apa yang akan terjadi dalam tempoh sembilan bulan mendatang, namun saya berharap untuk dapat beraksi dalam kejohanan itu," katanya.

Nadal juga sedang berkira-kira untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun depan bagi menambah koleksi pingat emas acara perseorangan lelaki yang dimenanginya pada 2008.

"Kamu sedang memperkatakan sesuatu yang akan terjadi pada satu setengah tahun yang akan datang.

"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi, namun seperti yang saya katakan tadi, saya berharap untuk dapat menyertai temasya itu.

"Saya tahu Tokyo akan menjadi sesuatu yang menarik dan saya akan mencuba yang terbaik untuk menyertai temasya di sana," tambahnya.

Nadal dijangka meneruskan aksinya musim ini dengan menyertai Terbuka Mexico di Acapulco, hujung bulan ini.

Advertisement

Must Watch Video