Skip to main content

Sukan Lain

MWA hasrat bida tuan rumah Piala Dunia Woodball Pantai 2019

woodball.jpg
Persatuan Woodball Malaysia (MWA) akan berbincang dengan Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) untuk menganjurkan Piala Dunia Woodball Pantai di Kuala Terengganu pada 2019.

Menurut Presiden MWA, Elaine Tan, perkara itu akan dicadangkan dalam Mesyuarat Agung IWF di Hsinchu, Taiwan, Disember ini.

Usul itu diluahkan Elaine selepas berakhir Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia di Batu Buruk, Kuala Terengganu, kelmarin, serta maklum balas daripada kesemua negara bertanding.

Ujarnya, MWA akan bekerjasama dengan Persatuan Woodball Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk merealisasikan cadangan itu kelak.

“Atlet-atlet bertanding mengakui pantai di Kuala Terengganu sebagai yang terbaik dan mencabar kemampuan mereka.

“Andai mendapat persetujuan semua pihak, MWA akan membida hak tuan rumah Piala Dunia Woodball Pantai 2019 dan kami yakin ia akan berjaya,” kata Elaine.

Piala Dunia Woodball Pantai edisi pertama akan berlangsung di Bintan, Indonesia dari 9 hingga 13 Ogos ini, dengan tuan rumah edisi kedua pada 2019 masih belum diputuskan IWF.

Sementara itu, persediaan skuad negara menghadapi cabaran di Bintan terganggu selepas terpaksa menghantar hanya dua atlet.

Elaine berkata seramai enam atlet terpaksa melupakan hasrat menyertai skuad negara kerana terikat dengan jadual peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami kesuntukan masa dan hanya dua pemain dari Perlis akan menggalas cabaran Malaysia,” tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video