Skip to main content

Permotoran

MotoGP: Vinales pujuk Rossi jangan tinggalkan Yamaha

maverick-vinales.jpg
Maverick Vinales menggesa Valentino Rossi agar memeterai kontrak baru bersama Movistar Yamaha menjelang musim 2018.

Awal minggu ini, Vinales memuktamadkan masa depannya dengan pasukan itu sehingga 2020 di sebalik minat daripada pencabar lain. 

Legenda MotoGP, Rossi, bagaimanapun, masih belum mengesahkan sama ada dia akan melanjutkan tempoh kontraknya apabila menyatakan bahawa dia tidak terburu-buru dan mungkin memutuskan untuk bersara selepas melakar karier yang cemerlang.

Bagaimanapun, Vinales berharap pelumba kelahiran Itali itu supaya kekal memandangkan Rossi mampu memainkan peranan dalam pasukan itu sebagai dorongan buatnya menghasilkan tunggangan terbaik. 

"Saya harap dia memperbaharui kontraknya," kata Vinales. "Valentino adalah tokoh yang sangat penting di dalam pasukan kami, dia membuatkan anda meningkatkan prestasi sebanyak lima peratus.

"Anda sentiasa mahu mendahului rakan sepasukan anda. Valentino berjuang untuk memenangi setiap perlumbaan, ia memotivasikan saya dan ini merupakan salah satu perkara terbaik.

"Menamatkan saingan musim lalu sebagai pelumba terbaik Yamaha sangat bagus kerana kami tidak dapat berjuang untuk merebut gelaran. Begitupun, itu tidak bermakna apa-apa.

"Semuanya kembali bermula dari kosong dan kami perlu terus berjuang dan berusaha bagi mengekalkan tahap yang konsisten, bermula dari hari pertama sehingga perlumbaan terakhir. Anda tidak boleh beraksi hebat dalam dua perlumbaan dan kemudian berehat," katanya.

Suzuki dan KTM merupakan antara pasukan yang dilaporkan berminat untuk merebut khidmat Vinales, namun dia menjelaskan peluang terbaik untuknya memenangi gelaran sulung adalah terus bersama Yamaha.

"Yamaha dan saya berkongsi matlamat yang sama," jelasnya. "Hanya ada satu sasaran -- cuba untuk memenangi gelaran. Ia sentiasa ada di dalam fikiran mereka dan saya adalah bahagian yang sangat penting.

"Saya juga berasa sangat selesa bersama pasukan, saya berasa sangat baik dengan pasukan teknikal, Yamaha, penaja, Movistar. Jadi, tidak ada alasan untuk menunggu lagi."

Advertisement

Must Watch Video