Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Shahrul pelumba terbaik negara dalam peringkat kedua

23217shahrul.jpg
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shahrul Mat Amin, membuktikan kemampuannya apabila muncul pelumba terbaik negara selepas meraih kedudukan ke-10 dalam peringkat kedua saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), hari ini.

TSG turun ke peringkat kedua ini dalam misi mempertahankan jersi raja bukit yang disandang Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

Tetapi, ia tidak menjadi apabila pergerakan Amirul dan juga pakar mendaki dari Indonesia, Dadi Suryadi, berjaya disekat beberapa pelumba pasukan lain.

Saingan peringkat kedua ini menyaksikan hanya dua wakil TSG, Shahrul serta Dadi, menamatkan perlumbaan dalam kelompok hadapan.

Keputusan ini juga menyaksikan Shahrul menjadi pelumba tempatan terbaik selepas menamatkan dua peringkat dengan kelebihan lapan saat mengatasi dua wakil kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie serta Nur Aiman Zariff.

"Ia sukar. Pendakian awal hari ini sejauh kira-kira 50 meter dan ramai pelumba memperlahankan kayuhan," katanya.

Dalam pada itu, Shahrul juga mengakui ketiadaan pakar pecut, Harrif Salleh, yang terjatuh pada awal perlumbaan menjejaskan strategi pasukannya dalam peringkat ini.

Harrif mengalami kemalangan buat kali kedua selepas turut terjatuh semasa penghujung peringkat pertama semalam.

Lebih malang, Harrif, yang mengalami kecederaan lutut kanan, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan LTdL kali ini.

"Bermula perlumbaan awal, saya lihat dia terjatuh dan kami ada menunggu. Tetapi pada masa itu kumpulan pelumba mengayuh laju," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video