Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Bardiani kuasai peringkat keenam

27217ltdl.jpg
Pasukan Bardiani menamatkan penantian lima tahun memburu kemenangan dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila pelumbanya, Enrico Barbin, menjuarai peringkat keenam dari Senawang menuju ke Muar, hari ini.

Pelumba negara, Zamri Salleh, pula terpaksa akur menamatkan saingan sejauh 176.3km itu di tempat ke-10, tatkala pendahulu keseluruhan kekal milik Ryan Gibbons. 

Peringkat awal perlumbaan menyaksikan kayuhan sederhana dengan tidak banyak asakan dilakukan pelumba selain cuaca hujan sedikit memperlahankan rentak.

Tetapi selepas kilometer ke-33, tiga pelumba memimpin perlumbaan, antaranya Rota dari pasukan Bardiani.

Berbaki 5 km, peloton dapat mengejar pendahulu dengan Barbin memanfaatkan strategi pasukannya untuk melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 4 jam 9 minit 06 saat.

Kali terakhir Bardiani memenangi peringkat perlumbaan ialah pada edisi 2012 menerusi Marco Canola di Kuantan.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Zamri, sekali lagi cemerlang dengan menjadi pelumba tempatan terbaik apabila meraih tempat ke-10.

Jersi kuning untuk pendahulu keseluruhan, bagaimanapun, kekal milik pelumba Dimension Data, Gibbons.

Barbin menjuarai perlumbaan peringkat pertamanya musim ini, meninggalkan Anthony Giacoppo di tempat kedua dan Fillipo Pozato ketiga.

Gibbons terus mengungguli kedudukan jersi kuning dan biru sementara jersi putih terbaik Asia bertukar pemilik kepada Hideto Nakane.

Menanti selepas ini ialah cabaran peringkat ketujuh dari Melaka ke Rembau sejauh 148.1km dengan menampilkan tiga zon pecutan di Sungai Tuang, Lendu dan Tampin, serta tiga zon pendakian.

Advertisement

Must Watch Video