Skip to main content

Sukan Lain

LTdL 2017: Debesay takluk Cameron Highlands

250217-pelumba-dimension-data-mekseb-debesay.jpg
Pelumba Dimension Data, Mekseb Debesay, menakluki pendakian ke Cameron Highlands untuk mengungguli peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 hari ini. 

Peringkat keempat ini merupakan yang paling mencabar buat semua pelumba dalam edisi kali ini. 

Ini kerana ia berakhir dengan pendakian Hors Class menuju ke Tanah Rata, Cameron Highlands, dengan pelumba dilepaskan dari Seri Manjung. 

Sebelum pendakian itu, tiga zon pecutan menanti, masing-masing di Ayer Tawar, Bota Kanan dan Kampar. 

Dengan beberapa pelumba, antaranya pakar mendaki menyimpan tenaga, kesemua zon pecutan itu dikuasai pelumba KSPO, Seo Joonyong. 

Dia dan empat lagi pelumba, termasuk Loh Sea Keong, kemudian menjarakkan kedudukan dalam laluan untuk permulaan kawasan pendakian. 

Turut berada dalam kelompok itu adalah Afiq Huznie Othman dari pasukan Infinite AIS dan pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki. 

Sea Keong dan Nur Amirul cuba bergandingan dalam usaha mengelak daripada asakan peloton. 

Usaha itu, bagaimanapun, disekat peloton dengan enam pelumba yang diketuai Debesay dan Jarmillo Diaz mula mengejar dengan saingan berbaki dua kilometer. 

Debesay lebih unggul untuk memperoleh kemenangan hasil catatan 4 jam 37 minit dan 49 saat di depan pelumba Isowhey Sports Swisswellness, Cameron Bayly, diikuti rakan sepasukannya, Ryan Gibbons, di tempat ketiga. 

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Gibbons mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 11 saat di depan Bayly. 

Sementara itu. Sea Keong menjadi pelumba tempatan terbaik bagi peringkat ini selepas meraih kedudukan ke-37, manakala pelumba tempatan terbaik keseluruhan kekal disandang Shahrul Mat Amin dari TSG. 

"Kami bekerja keras dengan rakan sepasukan saya bersama-sama melaksanakan tugas khas. 

"(Rakan sepasukan) Nick (Dougall) juga menguasai saingan dari sejak dari awal hingga tamat perlumbaan ini untuk membantu kami menguasai peringkat ini," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video