Skip to main content

Hoki

Liga Hoki Wanita medan cari tenaga baru

040617dhaarma_1.jpg
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menyifatkan Liga Hoki Wanita adalah satu-satunya peluang untuk merebut 26 slot dalam pasukan kebangsaan bagi tahun ini kerana pemilihan seterusnya hanya akan dijalankan pada 2019.

Dhaarma menegaskan liga yang sedang berlangsung bukan sekadar penyeri jadual, malah menjadi peluang terakhir untuk pemain-pemain menyarung jersi negara.

Jurulatih itu memerlukan muka-muka baru untuk diketengahkan selepas barisan yang bersaing dalam Piala Asia di Kakamigahara, Jepun tahun lalu gagal mencapai piawaian yang dimahukan.

"Jika pemain-pemain negara tidak menampilkan aksi yang baik dalam saingan liga, kemungkinan tempat mereka akan hilang. Sebab itu, kami sentiasa mengingatkan mereka agar dapat menunjukkan aksi cemerlang," katanya.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuknya mengambil risiko meletakkan nama baru bagi saingan Sukan Komanwel 2018 setelah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa 18 nama senarai akhir ke Gold Coast perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada awal bulan depan.

"Pemain-pemain perlu faham bahawa pemilihan kini sedang dijalankan. 

"Walaupun kami memilih 26 pemain pada kali ini tetapi senarai 18 terakhir untuk ke Sukan Komanwel tetap akan dihantar pada awal Februari," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video