Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, terpaksa menolak permohonan Mesir untuk aksi persahabatan menjelang pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, bermula 4 Mac depan ekoran kesuntukan masa.
Jadual padat kerana pemain terbabit dengan Liga Hoki Malaysia (LHM) menghalang Van Huizen daripada memenuhi permintaan Mesir itu.
Juara Afrika itu mengadakan kem latihan pusat di Malaysia sebagai persiapan ke Dhaka.
Mereka diundi dalam Kumpulan B sementara Malaysia di dalam Kumpulan A.
“Kami tidak dapat mengadakan aksi persahabatan kerana ramai pemain negara yang beraksi dalam liga dan terlibat dengan aksi Piala TNB,” jelasnya.
Final Piala TNB akan tamat 26 Februari ini dan skuad negara dijadual berlepas ke Dhaka, dua hari kemudian.
Beberapa pemain seperti Firhan Ashaari dan Faiz Helmi Jali dijadual melangsungkan perkahwinan ketika kejohanan berlangsung sementara penjaga gol, S. Kumar, akan menyambut kelahiran anak ketiga.
Penyerang, Faizal Saari dan Mohd Haziq Shamsul, belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Kami akan cuba yang terbaik di Dhaka, kami akan cuba mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk aksi di sana.”