Skip to main content

Hoki

LHM: THT terus cengkam kedudukan peneraju

tht_1.jpg
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memerlukan kemenangan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini bagi menghidupkan peluang memburu kedudukan teratas menjelang aksi terakhir Liga Hoki Malaysia (LHM), Jumaat ini. 

"Saya gembira dengan keputusan ini. Walaupun menang 4-0, ia bukan kemenangan yang mudah. 

"TNB memberi saingan sengit. 

"Apa yang menggembirakan saya, kami sudah menemui rentak permainan yang bagus selepas tiga perlawanan. 

"Kami beraksi bagus walaupun kehilangan beberapa pemain atas sebab tertentu," kata jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan. 

Kemenangan 4-0 di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu terhasil sejurus KLHC menggempur kubu TNB melalui percubaan Thomas Carson yang dinafikan Mohd Hamis Mohd Ahir pada minit kedua. 

Peluang terbaik dimiliki TNB pada minit ke-14 melalui Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil tetapi pukulannya tersasar.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya berhasil dalam suku kedua melalui jaringan padang Hafizuddin Zaidi pada minit ke-28. 

Hafizuddin sekali lagi muncul penjaring KLHC pada minit ke-44 untuk menjadikan kedudukan 2-0. 

Pemain Korea Selatan, Jang Jong-hyun, mengambil kesempatan dengan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti, lima minit selepas itu. 

Jong-hyun menamatkan cabaran TNB dengan gol keempat ketika permainan berbaki dua minit hasil umpanan Carson. 

"TNB sebuah pasukan yang bagus. 

"Kami cuba memberi saingan dan dalam suku kedua, kami mencipta banyak peluang tetapi gagal disudahkan pemain muda. 

"Apabila kami terlepas peluang seumpama itu, maka kami memberi mereka peluang untuk menjaringkan gol," kata jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin. 

Dalam satu lagi perlawanan petang tadi yang terganggu akibat hujan lebat, Terengganu Hockey Team (THT) kekal sebagai peneraju menerusi kemenangan keenam. 

Mereka kini yang mengumpul 21 mata hanya dipisahkan satu mata dengan juara bertahan, KLHC. 

THT bangkit menjinakkan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil selepas Muhammad Sabri Mohamed meletakkan pasukannya di hadapan. 

Bagaimanapun, tiga gol dalam separuh masa kedua memastikan anak buah Sarjit Singh itu meraih kemenangan 4-2. 

Keputusan hari ini: 

KLHC 4 TNB 0
TNB Thunderbolts 2 THT 4
UniKL 1 Maybank 1

Jadual Jumaat Ini:

TNB mln UniKL
(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil, 6 ptg)

Maybank mln TNB Thunderbolts
(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil, 8.30 mlm)

KLHC mln THT, 5 ptg
(Std Hoki Kuala Lumpur, 5 ptg)
 

Advertisement

Must Watch Video