Skip to main content

Sepak Takraw

LHM: THT diikat UniKL di halaman sendiri

tht24119.jpg
Pasukan Hoki Terengganu (THT) terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan di persada Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas sekadar seri 1-1 dengan UniKL di Stadium Hoki Batu Buruk, petang ini.

UniKL bermula baik dengan asakan seawal minit kedua yang menyaksikan pukulan Joel Samuel van Huizen digagalkan Muhammad Hafizuddin Othman.

Giliran tuan rumah pula menguji pertahanan pelawat tiga minit kemudian melalui hantaran kapten, Mohd Fitri Saari, namun gagal disambar Ammad Shakeel Butt.

UniKL selepas itu dilihat lebih menguasai tempo dengan dua peluang daripada Muhamad Hafiz Zainol (m-12) dan Jeroen Dolf Herlzberger (m-17) yang diselamatkan Hafizuddin.

THT terpaksa menanti sehingga minit ke-29 untuk memperoleh pukulan sudut penalti, namun penjaga gol lawan, David Harte, cemerlang menangkis percubaan Gonzalo Peillat.

Kem tuan rumah akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-34 selepas penyerang negara, Faizal Saari, melepaskan pukulan kencang hasil hantaran Joaqin Menini.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat UniKL yang terus dihidangkan deretan peluang menerusi Sander De Wijn (m-38) dan Rafizul Ezry Mustafa (m-40), malangnya tidak disudahkan dengan baik.

Serangan bertali arus skuad kendalian Arul Selvaraj itu membuahkan hasil pada minit ke-51 selepas Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menyudahkan gerakan padang untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Beraksi tanpa tonggak import, Lopez Barreiros, THT seperti hilang punca hingga gagal mempamerkan rentak sebenar dan terpaksa berpuas hati dengan hanya satu mata.

Advertisement

Must Watch Video