Skip to main content

Hoki

LHM: Izwan azam tingkat aksi demi rebut tempat skuad kebangsaan

izwan-firdaus-ahmad-tajuddin.jpg
Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, menyuarakan hasrat untuk kembali mewakili negara selepas menjaringkan gol berkelas dunia ketika menewaskan Maybank 5-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, semalam. 

Izwan meledak gol itu dalam suku terakhir permainan sambil Muhammad Marhan Abd Jalil, Martijn Peter Havenga dan Robert Kemperman turut mencetak nama selaku penjaring bagi membantu UniKL mengumpul 16 mata untuk berada di puncak saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), berkelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Ia satu situasi kegemaran saya untuk menjaringkan gol. 

"Saya berada di posisi yang tepat untuk menyempurnakannya," jelasnya yang merebahkan badan untuk menyempurnakan gerakan dari sebelah kiri itu. 

Kali terakhir Izwan menyarung jersi The Malaysian Hockey Tigers adalah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lalu. 

Biarpun bersedia menyahut panggilan skuad negara, dia masih menganggap ada beberapa aspek yang perlu diperbaikinya.

"Kalau diberi peluang, saya mahu kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan. 

"Tetapi, saya perlu tingkatkan tahap kecergasan dan fizikal saya," katanya. 

Bagaimanapun, Izwan menganggap pertemuan dengan Terengganu Hockey Team (THT) di venue yang sama esok lebih mustahak dengan berkata: "Aksi berdepan THT amat penting. 

"Saya akan mempersiapkan kekuatan mental."

Advertisement

Must Watch Video