HOKI
LHM: Arul puji kematangan anak buah
Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, memuji kesungguhan pemain tengah, Mohd Ashran Hamsani, yang memainkan tugas penting ketika mereka menewaskan TNB 4-2 hari ini untuk menghampiri kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.
Semua pemain UniKL bekerja keras ketika meraih kemenangan kelapan itu musim ini.
Namun, kesungguhan Ashran mencuri tumpuan Arul apabila mampu beraksi di beberapa posisi berbeza selain menyumbangkan satu gol dalam aksi di Stadium Hoki Tun Abdul Razak.
Iklan
Ia kunci utama untuk UniKL mengumpul 25 mata, berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, TNB, dengan baki tiga perlawanan musim ini.
UniKL meledak gol pembukaan menerusi penyerang, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, pada minit ke-10.
TNB menyamakan kedudukan menerusi penyerang kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, sebelum Nor Syafiq Sumantri melebarkan kedudukan pada minit ke-20.
Selepas rehat, UniKL melancarkan serangan bertali-arus dan hasilnya mereka meraih tiga gol.
Jaringan menerusi pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, dan penyerang, Kieran Govers, dan Ashran, meletakkan UniKL semakin hampir untuk menjuarai LHM.
"Ashran menampilkan persembahan berkelas dunia hari ini sambil dibantu rakan-rakan yang memiliki kemampuan hebat.
"Saya sangat gembira dengan kematangan persembahannya musim ini sejak berkeluarga.
"Dia memang berhak mewakili pasukan kebangsaan," kata Arul.
Sementara itu, jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini, berpendapat terdapat beberapa kepincangan yang perlu diperbaiki anak buahnya dengan menjelaskan: "Pemain muda belum mampu melihat elemen dalam pertahanan.
"Jurang di antara kami adalah pengalaman selain pemain saya belum bersedia untuk menghadapi perlawanan sebesar ini.
"UniKL sememangnya berhak untuk menang," katanya.
Must-Watch Video