Skip to main content

Sukan Lain

Larian perpisahan Bolt dihampakan kekejangan

usain-bolt-cropped_1w9xyia8i80bb1ezy7dfrge7kn.jpg
Usain Bolt mengucapkan selamat tinggal kepada dunia olahraga tanpa pingat emas yang diharap-harapkannya setelah mengalami kekejangan hamstring dan gagal menamatkan larian dalam acara 4x100 meter Kejohanan Dunia IAAF di Stadium London, awal pagi tadi.

Bolt – acara individu terakhirnya adalah 100 meter yang sekadar memberikannya gangsa hujung minggu lalu – berundur dengan menghampakan apabila terbaring di atas trek dan gagal menamatkan perlumbaan sambil Great Britain meraih emas.

Legenda Jamaica itu – juara Olimpik lapan kali dan pemenang 14 pingat Kejohanan Dunia – terpaksa dibantu oleh rakan-rakan kuartetnya dan terhincut-hincut meninggalkan trek.

Jamaica berada di kedudukan ketiga ketika Bolt menerima baton daripada Yohan Blake dan keghairahannya untuk menghambat Christian Coleman and Nethaneel Mitchell-Blake membawa padah buatnya.

Pelari berusia 30 tahun itu dilanda kekejangan dan gagal menamatkan perlumbaan, dengan Britain memenanginya mengatasi kuartet Amerika Syarikat yang turut membariskan juara 100m, Justin Gatlin, dan Jepun.

Ia adalah pengakhiran yang mengecewakan buat pelari pecut terhebat sepanjang zaman itu tetapi Omar McLeod – juara 110m berpagar yang menjadi pelari pertama dalam kuartet Jamaica itu – bertegas bahawa Bolt akan sentiasa diingati sebagai salah seorang yang terhebat.

“Semua orang bersemangat dan semua orang (kesudahannya) kecewa. Nama Usain Bolt akan terus mekar,” katanya kepada wartawan.
 

Advertisement

Must Watch Video