Skip to main content

Kuala Lumpur dakwa PKNP bersikap biadap

fabio-maciel-050817.jpg
Aksi Liga Perdana di antara Kuala Lumpur dan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam tegang selepas perlawanan berakhir. 

Pergaduhan hampir tercetus membabitkan jurulatih, pegawai dan beberapa pemain kedua-dua pasukan. 

Namun, petugas keselamatan dapat mengawal keadaan dan memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku dalam kemenangan 1-0 tuan rumah ke atas wakil dari Perak itu.  

Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Magrao, mendakwa terdapat pegawai PKNP yang melemparkan kata-kata kesat terhadapnya. 

"Mereka mahu menang, kami juga begitu, itu normal. 

"Dari awal permainan lagi, mereka sudah melemparkan kata-kata kesat kepada saya. 

"Saya memberitahu mereka, "Ini hanyalah permainan bola sepak, siapa yang beraksi lebih baik akan menang," katanya.
 
Pengendali pelawat, Abu Bakar Fadzim, pula mengakui adalah lumrah dalam bola sepak apabila situasi kadang kala menjadi sedikit emosi dalam perlawanan getir seperti aksi semalam. 

"Ini perkara biasa dalam bola sepak. 

"Ia membabitkan emosi pemain, pegawai dan jurulatih tetapi bagi saya inilah kemeriahan dalam bola sepak. 

"Tiada apa yang berlaku dan kami akan fokus kepada tiga perlawanan terakhir nanti," ujar Abu Bakar yang sering disapa sebagai Burn. 
 

Advertisement

Must Watch Video