Skip to main content

Permotoran

Khairul Idham tidak sabar beraksi dalam kelas Moto2

1217khairulidham.jpg
Pelumba motosikal kebanggaan negara, Khairul Idham Pawi, sudah tidak sabar untuk memulakan aksi dalam kelas Moto2 tahun ini, apatah lagi dia bakal ke Jerez, Sepanyol, Mac depan, untuk menguji jentera barunya.

November lalu, pasukan Honda Asia mengumumkan penghijrahan Khairul ke kelas Moto2 selepas mempamerkan aksi cemerlang pada musim pertamanya dalam kelas Moto3.

Meskipun penghijrahan ke kategori itu dilihat terlalu awal buat karier Khairul, dia yakin Honda Asia mempunyai perancangan rapi untuk membentuknya menjadi seorang pelumba berkaliber.

Mengikut perjanjian, Khairul akan beraksi selama dua musim dalam Moto2 bersama Honda Asia.

"Saya rasa teruja untuk berlumba kerana sudah lama bercuti. Berada di rumah pun, saya ada berlatih untuk meningkatkan tahap kecergasan," katanya.

Khairul pernah mencipta sensasi apabila menggapai dua podium ketika GP Argentina dan GP Jerman pada musim lalu.

Justeru, untuk musim baru dan ditambah bersaing dalam kategori dan jentera serba baru, Khairul tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya hanya mahu cuba mengutip sebanyak mungkin mata dalam setiap perlumbaan.

"Di peringkat dunia seperti ini, prestasi semua pelumba berada di tahap tinggi. Jadi, saya perlu banyak memperbaiki prestasi ataupun kelemahan diri saya," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video