Skip to main content

Sukan Lain

Ketika inilah prestasi terbaik saya -- Azizulhasni

1617azizul.jpg
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, 29, tidak menampakkan sebarang petanda memperlahankan rentak susulan rehat panjang pasca Sukan Olimpik Rio apabila menyasarkan kejayaan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, 6-10 Februari ini.

Selepas kejayaan menghadiahkan gangsa dalam Sukan Olimpik Rio, program pra-musim 2017 Azizul tertumpu ke arah pemulihan fizikal dan latihan tanpa sebarang kejohanan.

Atas dasar itu, ia mencetuskan kebimbangan terhadap kemampuan Azizul untuk mempamerkan kemampuan sebenar dalam penampilan sulung aksi kompetitif bagi musim ini.

"Saya tidak tahu, mungkin faktor Olimpik atau faktor umur. Daripada kajian mengatakan awal 20-an sehingga lewat 30-an sehingga kemuncak prestasi untuk acara basikal trek," katanya. 

"Saya pun merasai sudah berada di tengah ke hujung musim saya. Macam seperti inilah prestasi terbaik."  

Azizul mengesahkan akan menyertai dua acara di India, iaitu individu pecut dan keirin dengan sasarannya untuk muncul juara.

Kali terakhir Azizul mengungguli pecut adalah dalam edisi 2014 sementara keirin pada 2015.

"Secara peribadi, saya sasar emas. Saya menyertai dua acara, jadi sekurang-kurangnya salah satu daripada acara itu saya dapat bawa pulang satu emas," katanya.

"Ini seperti untuk mencipta legasi saya.

"Diharapkan saya boleh menang emas untuk kedua-dua acara, itulah yang terbaik. Bagaimanapun, saya hanya meletakkan satu emas sahaja sebagai sasaran."
 

Advertisement

Must Watch Video