Skip to main content

Sukan Lain

Ketiadaan Dineshwaran boleh ditampung

amirul5118_1.jpg
Pemain ragbi 15 sepasukan negara, Muhammad Amirul Aqil Kamsol, mengakui kecederaan yang dialami K. Dineshwaran memberi impak terhadap skuad kebangsaan tetapi yakin ketiadaannya dapat ditampung.

Skuad negara kendalian Lee Nyuk Fah itu ketika ini dalam fasa kedua kem latihan pusat dengan menumpukan kepada aspek kecergasan serta pemantapan fizikal.

Begitupun, mereka dikejutkan dengan kecederaan patah tulang tangan kanan yang dialami Dineshwaran atau lebih dikenali dengan sapaan Dugro semasa beraksi dalam Liga Jepun hujung bulan lalu.

Amirul, yang juga antara tonggak senior dalam pasukan, berkata situasi itu akan meningkatkan lagi semangat seluruh pemain bagi menampung ketiadaan Dugro.

"Pemain-pemain lain gigih berlatih. Bagi saya, ia bukan masalah besar walaupun dia dibelenggu kecederaan. Kecederaannya memberi impak kepada pasukan tetapi ia tidak besar," katanya.

Tahun 2018 menjadi detik bersejarah buat skuad ragbi 15 sepasukan negara apabila buat julung kalinya dapat beraksi dalam divisyen perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Melihat kepada reputasi Hong Kong dan Korea Selatan sebagai antara yang terbaik di Asia, Amirul tetap menaruh keyakinan dengan peluang Malaysia mencipta kejutan dalam kejohanan itu dari 28 April
hingga 26 Mei depan.

"Di atas kertas, mereka mempunyai kelebihan berbanding pasukan kita tetapi kami akan menggunakan sebaik mungkin kelebihan bermain di Malaysia," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video