Skip to main content

Sukan Lain

Kepulangan ke Torrey Pines gembirakan Woods

41217tigerwoods.jpg
Tiger Woods mengisytiharkan dirinya amat berpuas hati selepas melengkapkankan kepulangannya ke Jelajah PGA dengan empat pusingan berturut-turut yang menyamai par atau lebih baik dalam Terbuka Farmers Insurance yang berakhir semalam.

Di sebalik terus berhempas-pulas daripada pukulan tee, Woods menamatkan pusingan terakhir yang menyamai par 72 di lapangan selatan Torrey Pines untuk menyudahkan saingan dengan tiga di bawah par dalam permulaan rasmi pertamanya dalam tempoh 12 bulan.

Pemenang gelaran utama 14 kali itu merumuskan permainan jauhnya dalam pusingan ketiga sebagai “jelik” tapi berasa terangsang daripada prestasiya dalam keadaan angin kuat semalam.

Dalam temubual dengan penyampai CBS Sports, Dottie Pepper, selepas selesai pusingannya, Woods mengungkapkan: “Saya bermain lebih baik hari ini, jauh lebih baik.

“Suasananya amat sukar di luar sana, sukar untuk melakukan catatan baik.”

Bekas pemain nombor satu dunia, Woods, yang dibelenggu kesakitan belakang sejak beberapa tahun kebelakangan, suatu ketika hanya lima pukulan di belakang pendahulu dan menyasarkan catatan sekitar 65, sambil menambah: “Saya ingatkan itu akan melayakkan saya ke play-off.”

Sebaliknya, dia berkongsi tangga ke-27 apabila menyelesaikan pusingannya, namun dia tetap berpuas hati kerana mampu bersaing dengan hebat setelah terlepas sebegitu banyak kejohanan.

“Saya sangat berpuas hati selepas tidak bermain beberapa tahun dan kemudian kembali di sini dalam jelajah dan mengharungi aksi empat hari yang mantap,” tambahnya.

"Saya bertarung hebat untuk catatan-catatan ini. Ia bukanlah umpama pukulan ke tengah-tengah fairway, pukulan kedua terus ke green, melakukan dua putt, sebaliknya ia membabitkan banyak kerja keras.”

Ditanya apa yang akan diperbaikinya sebagai keutamaan untuk maju ke depan, Woods, yang seterusnya akan bersaing dalam Terbuka Genesis bermula 15 Februari ini, menjawab: “Segala-galanya. Sama seperti yang saya lakukan selepas saya bermain di Bahamas (dalam Cabaran Dunia Hero).

“Saya teruja untuk mencapainya,” katanya lagi.

Jaguh Australia, Jason Day, dan Alexander Noren dari Sweden akan bersaing dalam play-off secara ‘sudden death’ esok untuk menentukan juara setelah kedua-duanya bersama Ryan Palmer terikat sebagai pendahulu bersama dengan jumlah 278.

Palmer tersingkir lebih awal dalam play-off semalam, meninggalkan Day dan Noren untuk melakukan perhitungan terakhir.

Kedudukan pendahulu:

278 – Jason Day (AUS), Alexander Noren (SWE), Ryan Palmer (AS)
279- J.B. Holmes (AS)
280 – Keegan Bradley (AS)
281 – Tony Finau (AS), Charles Howell III (AS)
282 – Harris English (AS), Rober Garrigus (AS), Marc Leishmann (AUS).
 

Advertisement

Must Watch Video