Skip to main content

Sukan Lain

Jonathan buru rekod 100m kebangsaan

jonathan-nyepa.jpg
Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, sedia menyahut cabaran untuk mengatasi rekod 100 meter kebangsaan 10.18 saat milik Khairul Hafiz Jantan bagi membuktikan latihannya selama lapan bulan di Amerika Syarikat (AS) berbaloi. 

Jonathan dan Zaidatul Husniah Zulkifli diberi peluang untuk menjalani latihan selama lapan bulan di AS dalam misi untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dunia secara merit. 

Jonathan tidak melihat sasaran itu sebagai beban, sebaliknya menganggap ia sebagai misi yang mampu dilaksanakan andai latihan di AS dapat dimanfaatkan sepenuhnya. 

Pelari berusia 23 tahun itu mahu memastikan rekod kebangsaan itu dapat diatasi terlebih dahulu sebelum fokus memburu catatan kelayakan ke Kejohanan Dunia dengan masa10.10 saat. 

"Saya perlu mengadaptasi keadaan dan latihan di sana terlebih dahulu.

"Ia termasuk gaya hidup dan budaya latihan di sana," katanya.

Jonathan terlebih dahulu membawa bekalan semangat lebih awal ke AS selepas meraih pingat emas acara 100 meter Kejohanan Perak All-Comers dengan catatan 10.49 saat.

"Saya sememangnya sudah bersedia sebelum menghadapi kejohanan itu.

"Ia merupakan kejohanan pertama saya musim ini.

"Ia sememangnya perancangan terbaik daripada jurulatih saya yang mendorong saya untuk meraih kejuaraan itu," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video