TENIS
Jawairiah mungkin tinggalkan acara perseorangan
Pemain tenis wanita negara, Jawairiah Noordin, mengakui pemain negara masih jauh ketinggalan dan kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.
Pemain berusia 26 tahun itu tumpas 6-4, 6-1 di tangan pemain Republik Czech, Tereza Martincova, di peringkat kelayakan saingan WTA Terbuka Malaysia, hari ini.
Ini adalah penyertaan kelima Jawairiah dalam Terbuka Malaysia, namun dia masih gagal mara ke peringkat undian utama kejohanan.
Iklan
Atlet kelahiran Pulau Pinang ini menjelaskan walaupun pemain negara menyertai beberapa kejohanan luar negara, ia masih tidak mencukupi untuk memberi saingan kuat di peringkat WTA.
"Kami berlatih banyak mana pun setiap hari tetapi jika kurang menyertai kejohanan, memang tidak akan membantu.
"Atlet luar semuanya menyertai kejohanan hampir setiap minggu tetapi kami hanya sertai kejohanan tempatan.
"Kami sertai satu kejohanan dalam sebulan, kemudiannya rehat dua tiga bulan, jadi momentum itu tidak ada," jelas Jawariah.
Aksi semalam menyaksikan Jawairiah memulakan perlawanan dengan baik apabila mendahului 2-0, sebelum tumpas 6-4 dan 1-6 pada set kedua.
Jawairiah mendedahkan persembahannya diganggu masalah kesihatan.
"Mungkin selepas ini saya hanya akan fokus dalam acara beregu dan tidak lagi akan beraksi dalam perseorangan.
"Ini kerana saya ada mengalami masalah asma, jadi mungkin saya hanya akan beri fokus dalam acara beregu," tambahnya.
Must-Watch Video