GOLD COAST 2018
Hoki: Malaysia bangkit tebus maruah
MALAYSIA 3 WALES 0
Skuad hoki negara bangkit melakar kemenangan 3-0 ke atas Wales dalam aksi kedua Kumpulan B, Sukan Komanwel XXI di Pusat Hoki Gold Coast, sebentar tadi.
Aksi pembukaan Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast dicemari dengan kekalahan besar 7-0 kepada England semalam apabila permainan agresif yang dipamerkan oleh England ternyata menggagalkan setiap perancangan yang telah ditetapkan oleh Stephen Van Huizen.
Iklan
Meletakkan sasaran untuk kembali meraih kemenangan, Malaysia mempamerkan permainan cemerlang ketika bertemu Wales, dengan membuka jaringan menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan oleh Fitri Saari pada minit ke-17.
Malaysia menggandakan jaringan pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Joel Van Huizen sebelum Faizal Saari memastikan kemenangan skuad negara pada minit ke-57.
Selepas dua perlawanan, Malaysia meraih satu kemenangan dan satu kekalahan setakat ini, dengan cabaran seterusnya bagi skuad kendalian Van Huizen itu adalah berdepan India pada Selasa ini, jam 7.30 pagi (waktu Malaysia) di Pusat Hoki Gold Coast.
Must-Watch Video