Myanmar meraikan kekalahan 6-0 kepada pasukan hoki lelaki Malaysia dengan memeluk pemain negara sejurus wisel penamat ditiupkan dalam aksi terakhir liga sepusingan Sukan SEA ke-29 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Ini kerana Myanmar mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke final hoki lelaki buat kali pertama dengan menafikan slot Singapura menerusi perbezaan jaringan.
Kedua-dua pasukan terikat dengan tujuh mata, namun kelebihan buat Myanmar yang kurang dibolosi, sekaligus turun dengan misi mengelak daripada dikalahkan dengan lebih daripada sembilan gol.
Anak buah Stephen Van Huizen yang sudah mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas menundukkan Singapura 9-1 semalam, bermula garang dengan menyumbat empat gol pada separuh pertama dan menokok dua gol lagi dalam baki 30 minit permainan.
Empat jaringan Malaysia dihasilkan melalui pukulan sudut penalti menerusi dua sentuhan berbisa Fitri Saari dan Razie Rahim, serta satu daripada Shahril Saabah.
Shahril terlebih dahulu meletakkan Malaysia di hadapan menerusi gol padang pada minit ke-10 manakala Aiman Nik Rosemi memuktamadkan kemenangan negara pada minit ke-41.
Dengan itu, Myanmar akan berdepan pasukan negara untuk merebut kejuaraan pada Selasa nanti, jam 6.30 petang.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Stadium Astro
Sun Aug 27 2017