Spekulasi yang mengatakan pasangan adik beradik Matt dan Jeff Hardy akan kembali memeriahkan pentas WWE kembali bertiup kencang apabila kedua mereka secara sah tidak akan memperbaharui kontrak bersama Impact Wrestling.
Abang sulung kepada pasangan Team Xtreme ini, Matt Hardy melalui catatannya di Twitter secara rasmi telah mengesahkan perpisahannya dengan Impact melalui catatan terbaharunya pagi ini:
My stint with @IMPACTWRESTLING was DELIGHTFUL. EXCEPTIONAL talent & locker room. A great, respectful team that worked hard in tough times.
— #BROKEN Matt Hardy (@MATTHARDYBRAND) February 28, 2017
I wish @IMPACTWRESTLING all the best going forward, especially the INDUSTRIOUS talent. I hope they're all treated with respect & fairness.
— #BROKEN Matt Hardy (@MATTHARDYBRAND) February 28, 2017
Kontrak The Hardys bersama Impact Wrestling (sebelum ini dikenali sebagai TNA) tamat minggu ini. Perancangan asal, kedua adik beradik ini dijadual akan memperbaharui kontrak masing-masing untuk tempoh setahun lagi. Namun ia tidak menjadi kenyataan apabila Matt dan Jeff enggan memperbaharui kontrak tersebut kerana mendakwa ia tidak adil dan tidak mengikut terma yang telah dipersetujui seperti sebelum ini.
Menurut PWInsider, Hardys tidak gembira dengan apa yang dipersembahkan dalam kontrak tersebut. Ujar peguam kepada kedua adik beradik ini, Matt dan Jeff inginkan kebebasan penuh untuk watak mereka di Impact, di mana Matt kini sedang mencipta fenomena dengan karakter "Broken" dan "delete"nya, sehingga berjaya meletakkan Impact kembali disebut para peminat gusti seluruh dunia.
Oleh kerana Impact kini diterajui oleh pengurusan baharu dan bukan lagi di bawah kendalian pasukan terdahulu, mereka ingin membina fasa baharu syarikat ini dan enggan memberikan kuasa eksekutif kepada penggusti mereka dalam menentukan hala tuju karakter masing-masing. Malah, salah seorang pegawai Anthem Sports & Entertainment yang kini memegang majoriti saham Impact Wrestling, telah secara sinis mengarahkan pasangan adik beradik ini pergi sahaja ke WWE sekiranya tidak berkenan dengan terma dan syarat dalam kontrak baharu mereka.
Yang menariknya, pasangan Hardys kini masih lagi memegang Kejuaraan Regu TNA dan mereka sepatutnya melepaskan kejuaraan tersebut sekiranya benar enggan menyambung kontrak. Diberitakan yang pihak Impact telah mempelawa Hardys untuk beraksi dalam siaran rakaman Impact minggu ini walaupun tanpa kontrak, bagi memulangkan semula kejuaraan mereka sebelum berhijrah ke tempat lain.
Sekiranya benar yang Matt dan Jeff tidak akan lagi bersama Impact, tidak mustahil mereka akan kembali semula kepada syarikat yang telah mencipta nama mereka iaitu WWE. Matt sendiri sebelum ini beberapa kali telah mengajukan cabaran terbuka buat para pasukan regu di WWE seperti New Day dan Wyatt Family. Nampaknya cabaran ini akan dapat diteruskan sekiranya mereka kembali kelak.
Pemilik WWE, Vince McMahon sendiri dilaporkan amat tertarik dengan karakter Broken Matt Hardy dan sudah tentu jika peluang itu kini terbuka, pasukannya tanpa teragak-agak akan menyambar semula pasukan regu yang menjadi sebutan ramai di pertengahan tahun 2000 dulu.
The Hardys juga dilaporkan tidak lagi akan menerima sebarang jemputan untuk kemunculan di mana-mana sirkit bebas selepas bulan Mei depan. Ini secara tidak langsung memberi gambaran yang mereka telah terikat dengan sesuatu yang besar. Mana lagi kalau bukan ke WWE.
Para peminat The Hardy Boyz telah sekian lama mendambakan kepulangan pasukan regu ini ke WWE terutama kepada Jeff Hardy. Untuk rekod, Jeff telah meninggalkan WWE pada 2009 kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terus bersama TNA sejak 2010 hingga kini. Beliau sempat memegang Kejuaraan WWE dan Heavyweight Dunia WWE, selajur meletakkan beliau antara bekas juara WWE yang disegani.
Jeff sendiri pernah memaklumkan yang beliau ingin sekali lagi beraksi di pentas Wrestlemania, seterusnya menamatkan kariernya di syarikat gergasi milik keluarga McMahon tersebut.
Dengan Matt Hardy yang kini telah mencecah usia 42 tahun dan Jeff pula menginjak ke 39 tahun, pastinya mereka mengidamkan untuk bergelar juara buat kesekian kalinya. Setelah bergelar juara regu WWE sebanyak 6 kali, mungkin kini tiba masanya untuk mereka mendepani cabaran daripada bakat-bakat muda WWE seperti New Day, Gallows dan Anderson, American Alpha, The Usos dan ramai lagi.
Bak kata Matt dalam slogan Broken nya, kita DELETE sahaja semuanya.
Advertisement
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.