Skip to main content

Sukan Lain

Grace fokus kesihatan datuk, SPM

graceewong18118_1.jpg
Demi tanggungjawab kepada keluarga, atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong, mengambil keputusan mengejut untuk tidak lagi melibatkan diri dalam sebarang kejohanan pada tahun ini. 

Grace tiada pilihan selain harus kembali ke kampung halamannya di Sarawak kerana perlu menjaga datuknya yang mengalami masalah kesihatan. 

Disebabkan dia merupakan anak tunggal dan bapanya bekerja di luar negara, maka ia menjadi tanggungjawab Grace untuk terus menjaga datuknya lalu terpaksa melupakan peluang untuk beraksi dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini. 

Tiada erti kekesalan dalam diri pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu atas faktor usia datuknya selain dalam masa sama, ingin fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hujung tahun ini. 

"Di rumah, ada datuk seorang sahaja dan ayah pun tiada di rumah kerana bekerja di luar. 

"Jadi, saya ambil keputusan untuk pulang ke Sarawak untuk belajar. 

"Mungkin apabila ada masa terluang, saya akan berlatih dalam sejam atau dua jam. Saya belajar di rumah kerana guru akan datang," katanya. 

Grace tidak menolak berasa berat hati ingin meninggalkan jurulatih, Gu Yuan, dan atlet, Jackie Wong, yang dianggap sebagai abangnya. 

"Terima kasih kepada jurulatih kerana menjaga saya sepanjang dua tahun lebih ini.

"Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara, Kesatuan Olahraga Malaysia yang banyak membantu."
 
Terdahulu, Grace adalah salah seorang daripada 105 atlet yang menerima insentif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini. 

Majlis penyerahan insentif itu turut melibatkan 15 atlet para yang merangkul pingat dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Sebanyak RM3,000 diberikan kepada setiap pemenang temasya KL2017 lalu manakala RM2,000 untuk perak dan gangsa, RM1,000. 

Gimnas negara, Koi Sie Yan, merupakan penerima tertinggi dengan jumlah RM16,000 selepas cemerlang dengan empat emas dan dua perak, diikuti peluncur air, Aaliyah Yoong, yang membawa pulang RM11,000, sama seperti atlet para negara, S. Thavaneswaran. 
 

Advertisement

Must Watch Video