Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Ying How mahu skuad skuasy pamer aksi terbaik

yinghow.jpg
Chef-de-mission ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying How, mahu skuad skuasy negara menyahut cabaran agar tidak terlepas peluang untuk meraih pingat dalam temasya itu.

Ying How yang juga presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) percaya barisan pemain yang bakal menggalas tanggungjawab di Gold Coast nanti telah bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka.

Jika sebelum ini sandaran terletak kepada ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, saingan di Gold Coast nanti pastinya lebih sukar jika prestasi pemain-pemain negara yang  lain dijadikan ukuran.

Lantaran itu, bahagian beregu menjadi antara peluang terbaik Malaysia andai kombinasi yang dipertaruhkan nanti dapat membuktikan keupayaan masing-masing.

"Saya berasakan pemain beregu negara mampu menghasilkan sesuatu dalam Sukan Komanwel nanti. Kami telah banyak meneliti peningkatan permainan mereka," katanya.

Sementara itu, Ying How turut berpuas hati dengan persediaan semua atlet yang telah dikunjunginya setakat ini.

Beliau sebelum ini sudahpun membuat lawatan ke sesi latihan, antaranya skuad bola keranjang wanita, menembak, angkat berat, ping pong dan juga ragbi tujuh sepasukan.

Ying How mengharapkan komitmen dan rentak ini dapat ditingkatkan lagi dengan berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum Sukan Komanwel membuka tirai.

"Saya mahu mereka membuktikan kebolehan yang dimiliki oleh atlet Malaysia untuk mencipta kejayaan di Gold Coast nanti," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video