Skip to main content

Sukan SEA

Gimrama: Sie Yan tuai emas kedua

27817sieyan.jpg
Gimnas negara, Koi Sie Yan, mempamerkan aksi cemerlang untuk mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara gimrama individu keseluruhan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Selepas merangkul emas dalam acara berpasukan semalam, Sie Yan meneruskan rentak cemerlang dengan persembahan menarik untuk mengumpul 63.15 mata, mengatasi seorang lagi atlet berpengalaman negara, Amy Kwan Dict Weng, yang menghimpun 60.10 mata.

Gangsa pula dimenangi gimnas Thailand, Pornchanit Junthabud, dengan mengumpul 52.50 mata.

Sie Yan jelas melakukan persembahan yang kemas dalam disiplin gelung dengan 16.60 mata berbanding bola (15.60), belantan (15.25) dan riben (15.70).

Kemenangan atlet berusia 18 tahun itu sekaligus menyaksikan emas kedua dituai daripada gimrama selepas menamatkan penantian 10 tahun untuk meraih emas dalam acara berpasukan, semalam.

Dalam edisi dua tahun lalu, Sie Yan berkongsi pingat emas bersama seorang lagi atlet negara, Shasangari Sivaneswari selepas kedua-duanya diumumkan sebagai pemenang bersama. Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: Twitter @myTeamMAS

Advertisement

Must Watch Video