Penyerang hoki negara, Firhan Ashaari, dijangka tidak dapat menyertai pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, bermula 4 Mac depan, kerana melangsungkan perkahwinan, sekali gus menambah beban jentera serangan skuad hoki negara.
Firhan menetapkan 12 Mac untuk melangsungkan perkahwinan yang bertembung dengan tarikh kejohanan.
Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) ini dijangka terlepas kempen di Dhaka dan pastinya menjejaskan ketajaman jentera serangan negara kerana penggempur utama, Faizal Saari, belum pulih kecederaan pangkal paha.
Masalah itu disedari ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen, yang sedang bersiap-sedia dengan pelan B.
"Tarikh perkahwinannya bertembung dengan jadual perlawanan Liga Hoki Dunia, jadi kami akan akan cuba mendapatkan pemain-pemain lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkannya," ujarnya.
Hari pertama latihan skuad kebangsaan menyaksikan beberapa pemain tidak sempat melaporkan diri.
Pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) baru tiba di ibu kota selepas menghadapi Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim dan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, pula melaporkan diri sebagai inspektor polis sementara kapten, Sukri Mutalib, terikat dengan tugas sebagai guru.